SEREMBAN, 24 Jun — Orang ramai digalak membudayakan amalan membawa bekas sendiri serta beg yang boleh digunakan semula setiap kali membeli makanan dan minuman mahupun barangan keperluan harian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata susulan sekatan pergerakan penuh, pembelian makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang atau pandu lalu menyebabkan janaan sisa bekas plastik pembungkusan makanan dan minuman semakin meningkat.

“Sisa plastik yang dijana terutamanya daripada bungkusan makanan dan minuman mengambil masa sekurang-kurangnya 400 hingga 500 tahun untuk terurai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Orang ramai yang membuat pembelian makanan dan minuman secara dalam talian juga perlu mengamalkan pengasingan bekas kotak dan plastik berkenaan untuk dikitar semula, katanya.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata rakyat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor boleh mendaftar sebagai ahli Program KITARecycle SWM Environment menerusi laman web www.kitarecycle.com bagi membudayakan amalan kitar semula dari rumah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here