KUALA LUMPUR, 26 Jun — Universiti Teknologi Petronas (UTP) menduduki tempat ke-134 dalam ranking terkini Universiti Muda Times Higher Education (THE) sekali gus meletakkan dirinya di tangga pertama dalam kalangan universiti lain di Malaysia yang disenarai sebagai universiti terbaik dunia di bawah usia 50 tahun.

Naib Canselor UTP Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata universiti itu turut mencatat skor tertinggi di negara ini bagi petunjuk penyelidikan, yang terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti swasta terkemuka di Malaysia dan antara universiti terbaik di dunia. 

Beliau berkata dalam bidang universiti muda yang semakin kompetitif, UTP pada usia 24 tahun telah secara konsisten tersenarai dan terus melangkah ke hadapan dengan mantap dalam ranking global universiti di bawah usia 50 tahun penubuhannya. 

“Kami masih muda, jadi semua ranking ini amat penting kerana ia mencerminkan pencapaian kami berbanding rakan lain dan prestasi kami amat baik.

“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras dan usaha bersama komuniti UTP selain sokongan yang tidak putus-putus daripada Petronas, rakan kongsi dan rakan kerjasama kami,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

“Dalam Ranking Universiti Dunia QS 2022, UTP telah memperbaiki kedudukannya dengan ketara selepas melompat 25 anak tangga dari 439 kepada 414 dan mendaki ranking itu lima tahun berturut-turut secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata selain itu, UTP adalah satu-satunya universiti swasta di Malaysia yang mempunyai penarafan enam bintang (tahap prestasi tertinggi) dalam MYRA bagi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialannya serta telah mencapai status enam bintang dalam SETARA bagi kaedah pengajaran dan pembelajarannya.

Katanya UTP akan meneruskan fokusnya dalam mencapai kemajuan menerusi perkongsian strategik, inovasi canggih, menyediakan persekitaran pembelajaran dan pengajaran bertaraf dunia serta mendidik dan melatih generasi pemikir, inovator, pemimpin dan pelajar sepanjang hayat pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here