KUALA LUMPUR, 28 Jun — Kerajaan hari ini melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, bantuan itu menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion.

“Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan.

“Belanjawan 2021 pula bernilai 322.5 bilion ringgit dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini,” katanya semasa mengumumkan pakej PEMULIH yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, hari ini.

Muhyiddin berkata bagi fokus meneruskan agenda prihatin rakyat, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menurutnya, semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai 29 Jun.

Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September depan.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun ini adalah RM4.9 bilion.

Sementara itu, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, kerajaan turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas COVID-19 atau BKC dengan kadar dan kategori tertentu.

Perdana menteri berkata isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

Isi rumah B40 pula akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember manakala kategori bujang B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 ringgit pada bulan Ogos.

Bagi isi rumah kategori M40 pula, beliau berkata mereka turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada Ogos.

“Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.” katanya.

Kerajaan juga, katanya, akan memberikan diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik dengan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion.

“Bagi fokus menyokong perniagaan pula, kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan dalam kedua-dua fasa ini.

“Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

“Pelaksanaan Geran Khas Prihatin atau GKP telah berjaya menyokong kelangsungan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM5.1 bilion melalui inisiatif GKP.

D bawah PEMERKASA Tambahan penerima yang layak telah mendapat bayaran GKP 3.0 sebanyak RM1000 kira-kira dua minggu lepas dan bakal mendapat RM 500 lagi pada pertengahanJulai nanti.

Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak RM500 ringgit akan dibayar pada September dan RM500 lagi pada November 2021.

Muhyiddin berkata kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik bengkel, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka.

“Apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan Julai nanti,” katanya.

Menurutnya, memandangkan respon positif yang diterima berhubung Program Subsidi Upah (PSU) kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan mempercepatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan menambah peruntukan sebanyak RM400 juta  untuk menambah bekalan vaksin negara.

Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, sehingga 26 Jun, 2021, sejumlah 7 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi 5 juta orang dan sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6 peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Semalam, Muhyiddin berkata fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir hari ini tidak akan ditamatkan dan diteruskan sehingga kemungkinan pertengahan Julai depan.

Fasa pertama itu dilanjutkan kerana jumlah kes COVID-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya, katanya.

Menurut beliau, setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator nilai ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, indikator kedua keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here