KUALA LUMPUR, 29 Jun — Rata-rata rakyat mengeluh berikutan fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir pada Isnin tidak ditamatkan, malah diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai.

Berkongsi kisah hidupnya, Heliana Muhamad Shari, 38, yang menetap di Bukit Beruntung, Rawang berkata keluarganya hilang sumber pendapatan selepas suaminya Abd Halim Umar Hashim, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori dan memperoleh gaji di bawah RM3,000 sebulan, tidak dapat bekerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka hanya bergantung sepenuhnya dengan duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau i-Sinar  2.0 serta Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

 “Ketika PKP 1.0, saya ada minta suami belajar buat perabot gunakan kayu pallet, belajar melalui video di Google.

“Kayu pallet itu suami dapat dari kilang tempat dia kerja. Selalunya dia pesan kepada pekerja bahagian stor jika ada kayu pallet yang nak dibuang, suami akan minta disimpan,” katanya kepada Bernama.

Sekarang, stok kayu pallet tiada dan suami hanya mengambil tempahan seperti meja sudut, rak kunci, dan rak rempah ratus daripada kenalan terdekat, katanya.

Setakat ini perkongsian hasil kerja tangan suaminya mendapat 6,400 Like dan 861 perkongsian menerusi “Kami Suka Deko Bajet” di Facebook. 

Ditanya mengenai harga hasil jualan hasil kerja tangan suaminya, Heliana yang mengandung dua bulan itu berkata setakat ini hanya berjaya menjual beberapa hasil tukangan dan satu set meja berharga RM250.

“Itulah yang harga paling mahal pernah kami jual. Sebab ada yang cakap kayu pallet hasil kayu buangan, kami tak berani nak jual dengan harga yang tinggi,” tambahnya lagi.

Mereka juga terpaksa memohon lanjutan moratorium bayaran pinjaman perumahan dan ansuran kereta, berikutan tiada sumber pendapatan tetap.

“Saya berharap agar ada bantuan untuk kami yang tiada sumber pendapatan ini untuk meneruskan kelangsungan hidup, sama ada i-Sinar atau tambahan BPR (Bantuan Prihatin Rakyat),” katanya lagi.

Sementara itu, Nur Mas Amalina, 30, siswazah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut terkesan dengan PKP kerana suaminya bekerja sendiri.

Beliau mengambil inisiatif dengan mempromosikan servis melipat baju di daerah Hulu Langat dengan mengenakan harga upah serendah RM5 untuk setiap bakul.

“Selain itu, baru-baru ini ada jiran buat bisnes lada dan bawang kisar mahu upah saya kupas bawang saya pun setuju asalkan dapat cari duit tambahan. 

“Dengan sijil yang ada, saya masih menganggur. Tapi saya rasa itu bukan alasan untuk saya terus mengalah. Hidup ini perjuangan dan nak atau tidak, kita kena teruskan juga,” katanya lagi.

Heliana dan Nur Mas Amalina pasti gembira dengan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

BKC, bantuan tunai yang dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion.

Di bawah BKC, Muhyiddin berkata isi rumah miskin tegar akan menerima RM500 pada Ogos dan November serta RM300 pada Disember, manakala individu bujang miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

Bagi isi rumah kategori B40 seperti Heliana pula, menurut Perdana Menteri mereka akan menerima bantuan RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember.

 Kategori M40 turut tidak ketinggalan dengan isi rumah kategori ini akan menikmati bantuan sebanyak RM250.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan turut memperluas Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Perkeso terutama graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal di mana mereka ini boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs bagi menerima elaun sekurang-kurangnya RM300.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here