ALOR SETAR, 7 Julai — Kerajaan Kedah menafikan mesej tular yang menyatakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani berikutan penularan kes COVID-19 di hospital berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata walaupun ada petugas hospital berkenaan terdiri daripada doktor dan jururawat yang dikesan positif wabak itu, namun hospital itu tidak ditutup.

“Hospital ini tidak ditutup dan tidak berlaku penutupan semua bahagian, hanya wad tertentu sahaja yang ditutup bagi proses sanitasi dengan bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

“Mesej yang tular mendakwa HSAH ditutup juga adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai mesej yang tular di media sosial yang mendakwa HSAH ditutup dan akan dikenakan PKPD selepas 100 petugasnya dijangkiti COVID-19 varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta yang dikesan di Afrika Selatan.

“ Jadual janji temu disusun semula di klinik pesakit luar dan pakar. Rawatan perkhidmatan kecemasan berjalan seperti biasa sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Pengarah HSAH,” katanya merujuk kepada mesej tular itu yang turut menyatakan terdapat arahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri agar hospital hanya mengambil dan merawat kes  kecemasan sahaja berikutan penularan kes COVID-19.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak resah dengan keadaan ini dan perlu terus mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara serta tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here