LABUAN, 20 Julai  — Pelaksanaan ibadah korban di lapan kawasan lapang yang diberi kelulusan sempena Aidiladha di sini telah mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP).

Ketua polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata lapan kawasan lapang yang diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan telah dipantau oleh anggota polis sejak awal pagi hingga petang ini.

“Pihak polis dengan kerjasama anggota penguat kuasa JAWI dan Perbadanan Labuan mendapati penganjur-penganjur yang diberi kebenaran khas untuk pelaksanaan ibadah korban mengikuti SOP yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, 10 kumpulan pemantau terdiri daripada 30 anggota polis and 10 petugas RELA bukan sahaja membuat pemantauan di lapan kawasan penyembelihan dan melapah daging tetapi juga di rumah sembelihan Ruminan Patau-Patau.

JAWI Labuan telah memberikan kebenaran khas kepada tiga agensi kerajaan dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pulau bebas cukai di sini untuk melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha hari ini.

Agensi kerajaan terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia manakala NGO pula membabitkan jawatankuasa Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Bedaun; Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan; Aman Palestin Berhad dan Persatuan Badan Kebajikan Pejabat Mufti.

Lapan kawasan lapang yang diluluskan untuk melaksanakan aktiviti penyembelihan mengikut SOP ditetapkan adalah empat balai bomba dan penyelamat, balai polis Labuan; Kompleks Perumahan Kastam, Bukit Kuda; Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun (Masjid Nurul Iman); dan Kawasan Lapang Kampung Lajau bersebelahan Masjid Sultan Muhammad V.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here