SEREMBAN, 20 Julai  — Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di D’Tempat Country Club di sini ditutup sementara mulai hari ini bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) menstruktur semula jumlah dos vaksin tambahan untuk sektor industri di Negeri Sembilan.

Exco Perindustrian negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata melalui penstrukturan semula itu kadar pemberian vaksin mampu dipertingkatkan kepada 3,000 dos sehari.

“Sebelum ini kadar suntikan adalah sebanyak 1,500 dos sehari, dijangkakan minggu hadapan PPVIN itu akan beroperasi semula bergantung kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 memutuskan jumlah tambahan vaksin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, seramai 19,670 pekerja dalam sektor perindustrian di negeri ini telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di PPV berkenaan antara 5 Julai hingga semalam.

Jumlah itu melibatkan keseluruhan 34,829 pekerja daripada 130 syarikat yang mendaftar untuk divaksinasi menerusi Program Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

“PPVIN kedua pula dijangka akan dibuka di D’Cattleya, Senawang pada 2 Ogos ini dalam usaha untuk mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor perindustrian di negeri ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here