KUALA LUMPUR, 30 Julai — Usaha menyeragamkan standard pensijilan halal global  kekal menjadi cabaran di pasaran Amerika Syarikat (AS) yang bernilai US$4 trilion, mencetuskan kekhuatirandalam kalangan penggiat industri.

Ketua Setiausaha Institut Piawaian dan Metrologi untuk Negara-negara Islam (IKS), Ihsan Ovut, menyatakan tiada kemajuan yang signifikan dalam pensijilan halal selama beberapa dekad kerana kurangnya keazaman untuk menggunakan satu piawaian seragam dan pensijilan sah.

“Kita memerlukan satu piawaian yang seragam di seluruh dunia bukan hanya sijil yang boleh digunakan atau diiktiraf di sesebuah negara sahaja,” katanya pada Sidang Kemuncak Rusia-Dunia Islam ke-12: Kazan 2021 pada Khamis.

Oleh itu, Ovut berkata SMIIC – sebagai institusi yang membangunkan mekanisme yang diperlukan untuk negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) – telah menyiapkan standard umum untuk menghapuskan halangan teknikal dalam kalangan negara anggota termasuk Malaysia.

Sebanyak 41 standard telah dikeluarkan sejak penubuhan SMIIC pada 2010. Daripada jumlah tersebut, 16 standard berkaitan dengan isu halal, petroleum dan produk berkaitan (11), kulit dan isu-isu berkaitan (tujuh), pertanian (dua), tekstil dan isu-isu yang berkaitan (dua), masing-masing satu untuk pengurusan tenaga, perhiasan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Badan Persekutuan Rusia mengenai Peraturan Teknikal dan Metrologi, Anton Shalev berkata agensi itu menyasarkan untuk membangunkan standard halal yang merangkumi aspek lebih luas, termasuk pensijilan dan pengeluaran produk perubatan,bersesuaian dengan piawaian antarabangsa.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa piawaian produk halal, yang mengabungkan lebih 40 organisasi tempatan telah dilancarkan pada 2017. Rusia juga telah bergabung dengan sebuah jawatankuasa produk halal antara negara yang diperkenalkan Kazakhstan untuk menyelaraskan standard halal perkhidmatan dan produk.

“Satu daripada tujuan utama kami adalah mendapatkan kerjasama antarabangsa mengenai keperluan piawaian tempatan yang sesuai dengan standard antarabangsa, kerana industri halal mempunyai pasaran dan potensi eksport luas bagi pengeluar Rusia,” katanya.

Shalev berkata Rusia turut menyertai SMIIC sebagai pemerhati sejak Januari 2020 dan aktif bekerjasama dengan negara anggota dan berharap ia akan membuka peluang baharu untuk pembekalan produk halal tempatan dan pengiktirafan perkhidmatan mereka di pasaran antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here