GEORGE TOWN, 11 Ogos  — Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang memperincikan prosedur operasi standard (SOP) terkini berkaitan solat fardu dan solat Jumaat serta aktiviti pengimarahan masjid dan surau bagi jemaah yang lengkap divaksin.

Pengarahnya Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata pihaknya bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan beberapa agensi lain akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan  SOP terbaru termasuk beberapa kelonggaran aktiviti di masjid dan surau.

“Akan ada perubahan (SOP di masjid dan surau) dan pihak kami sedang perincikan untuk beberapa kelonggaran yang dapat menggembirakan umat Islam di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada Ahad lepas berkata, kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti di masjid dan surau bagi jemaah yang telah lengkap divaksin.

Kemudahan itu terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), bagaimanapun pihak masjid dan surau perlu memastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dipatuhi selain memastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here