BUKIT MERTAJAM, 13 Ogos  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah stor Taman Limau Manis, di sini, semalam.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lalu, pihaknya bertindak menyerbu stor berkenaan pada 12 tengah hari dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 30-an yang sedang memotong plastik minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) sebelum memindahkan ke dalam tangki fiber.

“Kami merampas 2.4 metrik tan minyak masak dipercayai cuba diselewengkan dan empat metrik tan minyak diesel dianggarkan bernilai RM28,000 serta sebuah lori.

“Dalam serbuan berkenaan, selain mengesan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi, kami turut menemui minyak diesel yang dipercayai tidak mempunyai lesen atau permit sah (untuk disimpan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan minyak masak itu akan dibotolkan dan dijual dengan harga lebih mahal sedangkan minyak peket satu kg itu adalah minyak bersubsidi yang dijual RM2.50 setiap satu.

Mohd Ridzuan berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here