SHAH ALAM, 20 Ogos — Semua perkhidmatan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di 12 cawangan di negeri ini akan beroperasi semula secara janji temu mulai Isnin ini.

LZS dalam kenyataan hari ini memaklumkan waktu operasi cawangan adal;ah berdasarkan hari bekerja dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Bagaimanapun, cawangan LZS di Kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam akan beroperasi setiap hari pada waktu sama (10 pagi hingga 2 petang) kecuali cuti umum.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin berurusan dengan LZS boleh membuat janji temu secara dalam talian dengan melayari  melayari www.zakatselangor.com.my/janjitemu.

“Slot janji temu ini boleh ditempah selewat-lewatnya empat jam sebelum waktu operasi cawangan bermula. Namun ia tertakluk kepada kekosongan slot janji temu di cawangan pada hari tersebut,” katanya.

LZS turut menasihatkan para pelanggan yang menghadiri janji temu untuk sentiasa mengemas kini Status Risiko COVID-19 masing-masing pada aplikasi MySejahtera dan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Selain berurusan di cawangan, LZS turut menyediakan platform dalam talian untuk memudahkan masyarakat.

“Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran zakat, ia boleh dilakukan di fpx.zakatselangor.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS,” katanya.

Bagi permohonan bagi kes kecemasan, LZS berkata orang ramai boleh menghubungi Penolong Amil Kariah (PAK) atau pegawai agihan dengan merujuk www.zakatselangor.com.my/koad-and-eoad.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau live chat di www.zakatselangor.com.my yang beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here