GEORGE TOWN, 20 Ogos — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempergiat pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap 22 subsektor perdagangan dan pengedaran, susulan beberapa kelonggaran yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata pihak kementerian akan melaksanakan Ops Samar iaitu pendekatan pemeriksaan secara berpakaian preman, termasuk penyamaran sebagai pelanggan, oleh lebih 2,000 anggota penguat kuasa kementerian itu bagi memastikan peniaga tidak melanggar SOP fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sejumlah 22 subsektor perdagangan dan pengedaran telah diberi kebenaran untuk beroperasi semula berkuat kuasa 16 Ogos dengan syarat individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini telah menerima vaksinasi lengkap.

“Pembukaan sektor-sektor ini merupakan satu usaha dan tanggungjawab seimbang secara bersama bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekosistem ekonomi domestik, namun, ia bukan suatu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga mengabaikan SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi Sektor Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon hari ini.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pelanggaran SOP PPN untuk memastikan SOP dipatuhi dengan serius dan keselamatan serta kesihatan rakyat dapat dijaga sepenuhnya sepanjang negara dalam cabaran pandemik COVID-19.

Katanya Ops Samar akan dijalankan di kawasan tumpuan pelanggan yang telah dikenal pasti seperti pusat beli-belah, kedai makan, kedai gunting rambut dan lain-lain sektor ekonomi yang melibatkan orang ramai.

“Pemilik premis dan pelanggan perlu memastikan bahawa hanya yang telah lengkap divaksin boleh melakukan aktiviti seperti ‘dine-in’,” katanya.

Mengulas mengenai program RiVAC, beliau berkata program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan majikan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka dan akan diperluas ke Kedah, Perak dan Pahang dalam masa terdekat.

Katanya KPDNHEP masih memperhalusi kapasiti dan jumlah majikan yang mahu memanfaatkan program RiVAC untuk memberi vaksin COVID-19 kepada pekerja mereka.

“Perbincangan lanjut dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan dijalankan berhubung cadangan pelaksanaan program RiVAC di lokasi lain selepas ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here