SHAH ALAM, 24 Ogos  — Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, sejumlah 7,499,702 dos vaksin telah dibekalkan kerajaan pusat dan diterima negeri ini sehingga semalam.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan, daripada jumlah tersebut 3,874,982 dos vaksin adalah Sinovac, vaksin Pfizer sebanyak 3,364,920 dos dan Astra Zeneca sebanyak 259,800 dos.

Jelas Dr Siti Mariah daripada aspek kumpulan sasar, penerima vaksin adalah mengikut janji temu yang telah diberikan menerusi aplikasi MySejahtera, yang telah dikoordinasi dengan jumlah vaksin yang telah dijadualkan mengikut fasa yang telah ditetapkan.

Beliau menjawab soalan Saari Sungib (PH-Hulu Kelang) dalam persidangan di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, yang ingin mengetahui tentang jumlah kuota, kumpulan sasaran dan penerima, serta jadual penyerahan vaksin di Selangor yang dibekalkan kerajaan pusat kepada negeri Selangor.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah berkata buat masa ini, kerajaan negeri hanya boleh membantu dalam menggiatkan lagi kempen meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat, berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.

Beliau memberitahu dewan, pengambilan vaksin COVID-19 bukan mandatori dan tiada sebarang peruntukan undang-undang boleh dikenakan terhadap golongan yang enggan mendapatkan suntikan berkenaan.

“Jadi, ini yang perlu kita tekankan untuk memberi kesedaran kepada semua orang ramai menerusi kempen, kerana jika mereka tidak lindungi diri sendiri pun, sekurang-kurangnya mereka mempunyai kesedaran untuk melindungi orang lain,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Taman Templer), yang ingin tahu langkah yang akan diambil kerajaan negeri terhadap individu yang enggan mengambil vaksin COVID-19 di Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here