KOTA BHARU, 23 Ogos —  Kelantan merekodkan kematian harian akibat COVID-19 secara purata antara empat hingga lapan kes sehari dalam tempoh sebulan lalu selepas sambutan Hari Raya Aidiladha. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata jumlah berkenaan meningkat sekali ganda berbanding tempoh sebelum Hari Raya Aidilfitri lepas iaitu sebanyak dua hingga tiga kes sehari.

“Peningkatan kes ini disebabkan beberapa faktor termasuk virus COVID-19 juga telah berada di dalam komuniti yang menyebabkan kes sporadik sekali gus mengundang kepada wujudnya kluster di Kelantan.

“Malah, pada masa yang sama kita juga lihat peningkatan kes berlaku selepas Hari Raya Aidiladha yang bermungkinan disebabkan aktiviti ziarah menziarahi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi Januari hingga Jun 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, di sini hari ini.

Dr Zaini berkata kes harian COVID-19 dijangka turun di negeri ini selepas 80 peratus penduduknya telah divaksinasi dan sekiranya tiada varian baharu yang wujud.

“Mengikut kepada trend kes harian COVID-19 di negeri ini sekarang iaitu mencecah empat angka sehari, kita tidak menolak kemungkinan perebakan yang banyak ini disebabkan varian Delta yang telah menjadi varian dominan di negeri ini,” katanya.

Mengenai program vaksinasi di Kelantan, Dr Zaini berkata kira-kira 35 peratus penduduk telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 dan kira-kira 23 peratus telah lengkap dua dos.

“Kita sasar pada Oktober nanti kita dapat capai 80 peratus terutama apabila pada bulan ini kita dijadual menerima bekalan vaksin sebanyak 800,000. Kita juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor kerana akan meminjamkan bekalan vaksin mereka kepada Kelantan.

“Buat masa ini mengikut kapasiti di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di Kelantan, kita mampu menyuntik sehingga 33,000 orang sehari dan dalam tempoh sebulan dianggarkan seramai sejuta orang menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Sekiranya bekalan vaksin yang diterima melebihi satu juta maka kita akan sediakan PPV mega, tetapi jika kurang daripada jumlah itu kita guna PPV sedia ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here