JOHOR BAHRU, 24 Ogos  — Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyumbang peralatan perubatan dan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada beberapa hospital di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani berkata sumbangan itu merangkumi 40 katil hospital, 87 tong oksigen, 50 ‘flowmeter’, 18,000 pelitup muka jenis N95 dan respirator separuh muka.

Azmi yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRZSNJ berkata kesemua peralatan itu diserahkan secara simbolik kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Ahad lepas. 

“Sumbangan ini merupakan kesinambungan daripada kurniaan-kurniaan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

“Katil hospital sebanyak 40 unit itu akan diedarkan ke hospital di Johor Bahru, Batu Pahat dan Mersing yang bertujuan membantu hospital dalam menambah baik perkhidmatan kesihatan di hospital awam negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua sumbangan itu menggunakan dana yang diasaskan oleh Raja Zarith Sofiah pada 7 Ogos lepas bertujuan menggalakkan penyumbang daripada sektor swasta membantu sistem kesihatan disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

“YRZSNJ turut memberi sumbangan kepada keluarga empat petugas Kementerian Kesihatan yang terlibat dengan kemalangan jalan raya, Rabu lepas. Penghargaan juga kepada Yayasan Amal Ng Teng Fong dan Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad atas sumbangan RM1 juta yang akan membantu yayasan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here