SHAH ALAM, 25 Ogos — Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini, Program Vaksin Selangor (SelVAX) di bawah kerajaan negeri, kini dalam persiapan untuk memberikan suntikan ketiga vaksin COVID-19 (booster), sekiranya perlu.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan, persiapan tersebut turut dilakukan bagi penerima vaksin golongan berumur 18 tahun ke bawah, namun kesemua perkara itu tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) yang ingin mengetahui berhubung baki vaksin Program SelVAX komuniti dan SELVAX Industri serta rancangan seterusnya, pada persidangan DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

DUN Selangor dimaklumkan Dr Siti Mariah bahawa sehingga 22 Ogos lalu, bilangan dos vaksin yang telah disuntik bagi SelVAX Komuniti adalah sebanyak 224,880 dos dan baki dos adalah sebanyak 275,120 dos.

“Bagi SelVAX Industri, bilangan dos vaksin yang telah disuntik sehingga 22 Ogos lalu adalah sebanyak 142,719 dos daripada 750,000 dos yang diperuntukkan, berdasarkan stok yang telah dibeli. Justeru, baki dos adalah sebanyak 607,281 dos,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah turut memohon maaf kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan di Selangor, kerana tidak memaklumkan berhubung maklumat terkini khususnya pembatalan pengoperasian pusat pemberian vaksin (PPV) SelVAX.

“Saya akan dengan sendirinya hantar maklumat (pengoperasian PPV SelVAX) kepada semua ADUN bukan kerajaan. Saya minta maaf sebab kita ada juga (maklumkan maklumat PPV) kepada penyelaras ADUN dan maklumat ini sampai pada mereka,” katanya yang menjawab soalan tambahan Haniza Mohamed Talha (Bersatu-Lembah Jaya), berhubung pembatalan pengoperasian PPV SelVAX yang tidak dimaklumkan kepada ADUN bukan kerajaan di Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here