GEORGE TOWN, 30 Ogos — Pulau Pinang dijangka mengalami penurunan jumlah kes COVID-19 apabila kadar vaksinasi dipertingkatkan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Rafidah Md Noor berkata jabatan itu menyasarkan 100 peratus populasi dewasa mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin pada minggu ketiga bulan September, berbanding 82 peratus sehingga semalam manakala 54 peratus telah mendapat dua dos vaksin.

Jabatan Kesihatan menyasarkan 80 peratus penduduk Pulau Pinang akan menerima vaksin lengkap pada penghujung Oktober 2021.

“Kami berharap dengan peningkatan kadar vaksinasi, kes akan mengalami penurunan,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Turut hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Razak Jaafar dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Dr Norlela Ariffin.

Sementara itu, Chow berkata sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 82,979 dan peningkatan kes dalam tempoh dua minggu lalu secara tidak langsung telah memberi tekanan paling besar terhadap sistem perubatan awam di negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan menyegerakan agihan sumber tenaga, perubatan dan imunisasi ke Pulau Pinang kerana ketiga-tiga unsur ini dapat membantu kami menghadapi cabaran ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here