KUALA LUMPUR, 12 Sept — Remaja lelaki berusia 15 tahun antara enam pengguna jalan raya yang ditahan polis dalam operasi tiga hari oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota bermula Jumaat lepas dan berakhir awal pagi tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata menerusi operasi itu sebanyak 984 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala sebanyak 43 motosikal disita kerana melakukan pengubahsuaian ekzos kenderaan.

Beliau berkata penahanan  pertama dan kedua dilakukan di Jalan Bangsar dan Jalan Duta, di sini, melibatkan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 29 tahun atas kesalahan menggunakan lesen palsu dan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kedua-dua mereka disiasat di bawah  Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 45(A) APJ 1987.

“Empat lagi suspek berusia 15 hingga 25 tahun ditahan awal pagi tadi di Lebuhraya Duta Ulu Klang berhampiran Plaza Tol Ayer Panas dan di Jalan Kuching,  di sini, selepas didapati menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata empat suspek yang ditahan itu akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata seramai sembilan pegawai dan 61 anggota polis terlibat dalam operasi yang bermula pada 9 malam Jumaat dan berakhir pada  4 pagi tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here