KUALA LUMPUR, 14 Sept — Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited untuk membantu memulihkan sektor aeroangkasa negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan mengekalkan daya saing syarikat tempatan di peringkat global.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata antara langkah dan inisiatif yang diambil menerusi Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan dan agensi terlibat untuk pemulihan sektor tersebut termasuklah pengerahan tenaga kerja aeroangkasa dalam subsektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang terjejas kepada sektor berkemahiran tinggi yang lain.

Katanya inisiatif lain untuk memulihkan sektor tersebut adalah program latihan peningkatan kemahiran kepada kumpulan pekerja yang terjejas dan menangani krisis kesinambungan rantaian bekalan yang dibangkitkan oleh pengeluar peralatan tulen, pemain aeroangkasa global dan syarikat penerbangan antarabangsa. 

“Rantaian nilai aeroangkasa Malaysia turut terjejas dan mengalami penguncupan jualan kepada RM11.6 bilion pada 2020 berbanding RM16.7 bilion pada tahun sebelumnya. 

“Subsektor MRO merupakan penyumbang besar kepada sektor aeroangkasa pada 2019 dengan jualan sebanyak RM7.97 bilion dan menguncup kepada RM4.93 bilion pada 2020,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) mengenai pelan pemulihan sektor tersebut terutamanya subsektor MRO di Dewan Rakyat hari ini.

Sektor MRO merupakan antara lima subsektor utama aeroangkasa Malaysia.

Lim berkata MITI turut komited untuk menarik pelaburan dalam sektor aeroangkasa di bawah kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). 

“Kita juga akan melihat penggunaan hangar di Lapangan Terbang Subang di bawah NIA, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here