KUCHING, 15 Sept  — Majikan perlu menerima pakai amalan kerja secara hibrid berikutan budaya bekerja dari rumah dijangka kekal walaupun dunia pulih daripada pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata apabila berlakunya penularan wabak itu tahun lepas, pekerja di seluruh dunia telah menyesuaikan diri dengan amalan bekerja dari rumah.

Budaya kerja itu telah mewujudkan fleksibiliti dan berdasarkan satu kajian, pekerja juga berharap ia dapat diteruskan pada pasca COVID-19 di seluruh dunia, kata beliau.

“Evolusi budaya kerja baharu ini juga bermaksud majikan harus menerima pakai amalan kerja secara hibrid dan memberikan fleksibiliti kepada pekerja untuk bekerja di mana dan bila-bila masa.

“Oleh itu, syarikat yang melaksanakan protokol kerja yang jelas dan tegas bagi pekerjaan di lapangan dan jarak jauh berkemungkinan dapat mengekalkan dan menarik mereka yang pakar untuk tempoh jangka panjang,” katanya ketika berucap pada Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS) 4.0 secara maya hari ini.

Menurut Abang Johari, beliau meramalkan budaya bekerja dari rumah dan mempunyai jadual kerja yang fleksibel akan tetap menjadi pilihan paling sesuai dan selamat sepanjang tempoh endemik COVID-19.

“Oleh itu, organisasi perlu memberikan lebih banyak latihan mengenai teknologi bagi membantu pekerja mereka meningkatkan kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja baharu di samping mengekalkan produktiviti,” tambahnya.

GETS 4.0 adalah program latihan amali yang dirancang sebagai inisiatif daripada kerajaan negeri Sarawak untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan digital dalam kalangan graduan tempatan di Sarawak.

Abang Johari berkata beliau gembira program GETS 4.0 telah dirancang dengan fokus khusus terhadap kecekapan digital seperti analisis data dan kemahiran menyelesaikan masalah melalui latihan pekerjaan.

“Kita perlu terus melabur dalam mengembangkan bakat digital, teknikal dan kreatif kita sendiri dalam usaha mencapai status Revolusi Industri 4.0.

“Selain kemahiran digital, ada juga permintaan yang tinggi untuk kemahiran insaniah seperti pengurusan projek, membuat keputusan, pemikiran kritis dan komunikasi untuk mewujudkan tenaga kerja yang sesuai bagi masa depan digital,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here