KUALA LUMPUR, 20 Sept — Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Negara 2021-2030, iaitu kesinambungan pelan 2011-2020 telah dilancarkan bersempena sambutan Hari Buluh Dunia 2021 hari ini bagi meningkatkan eksport produk buluh ke serata dunia.

Pelan tindakan ini berperanan untuk memperkasakan hala tuju Malaysia sebagai negara pengeluar buluh dan produk berasaskan buluh untuk dieksport ke China, Indonesia, Thailand dan serata dunia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata nilai eksport produk buluh pada tahun lepas adalah RM8.28 juta iaitu penurunan sebanyak 10 peratus berbanding 2019.

“Bagaimanapun, jumlah yang direkodkan ini terlalu kecil berbanding saiz pasaran buluh dunia,” katanya semasa berucap merasmikan majlis itu secara maya hari ini.

Sehubungan itu, bagi memastikan bekalan sumber buluh negara yang berterusan, Zuraida berkata kementerian itu menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia akan meneruskan kemudahan pinjaman mudah bagi penanaman buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan.

Beliau berkata program ‘Bamboo Community Farming’ juga telah bermula sejak awal tahun ini sehingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Buluh merupakan sumber bukan kayu penting yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport negara dan di Malaysia, terdapat kira-kira 70 spesies buluh dan 45 daripadanya yang tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan asli atau hutan selepas pembalakan,” katanya.

Menurut Zuraida, dari segi taburan penanaman, sebanyak 31 peratus tanaman buluh terdapat di Semenanjung dengan keluasan 229,123 hektar, Sarawak (45 peratus) dan Sabah (24 peratus).

Sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM152 bilion pada 2020.

Bagi industri perkayuan di Malaysia, industri ini telah menyumbang sebanyak RM22.02 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2020 iaitu penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding nilai eksport pada 2019.

Penurunan ini berlaku berikutan permintaan dunia yang berkurangan kepada produk berasaskan kayu akibat pandemik COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here