KUALA LUMPUR, 30 Sept — Kementerian Pengangkutan yang mewakili negara dalam Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) serius dalam menjaga kesejahteraan 6,108 pelaut aktif Malaysia yang memberikan khidmat kepada kira-kira 4,000 kapal asing dan domestik.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ini kerana pelaut adalah antara profesion terpenting yang menyokong kepada kehidupan moden dan perdagangan global.

“Komitmen ini dapat dibuktikan menerusi kesungguhan kementerian, apabila pelaut adalah antara yang terawal menerima vaksin bagi sektor pengangkutan dan logistik mulai 25 Jun lepas, yang juga merupakan Hari Pelaut Antarabangsa.

“Setakat ini sejumlah 46,616 pekerja maritim telah diberi vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Dari jumlah itu, seramai 4,398 pelaut atau 72 peratus daripada 6,108 pelaut aktif telah menerima vaksin setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan “Fair Future For Seafarers: Challenges And Solution” secara maya seiring tema Hari Maritim Sedunia “Seafarers: At The Core Of Shipping’s Future” anjuran Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL), hari ini.

Mengenai persidangan berkenaan Wee berkata ia bertujuan menarik perhatian global terhadap sumbangan yang diberikan oleh para pelaut kepada sektor perdagangan dunia dengan memastikan rantaian bekalan tidak terbantut walaupun berdepan keadaan yang sangat mencabar.

“Saya berharap persidangan ini dapat mengeratkan lagi persaudaraan maritim dan meneliti semua aspek cabaran yang dihadapi oleh pelaut, baik dari segi fizikal dan psikologi, terutamanya yang wujud ketika COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here