KUALA LUMPUR, 2 Okt — Pemain beregu wanita Indonesia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 Greysia Polii memuji persembahan skuad muda Malaysia selepas menyingkirkan pasukan negaranya di peringkat suku akhir Piala Sudirman di Vaanta, Finland, awal pagi tadi.

Kejayaan 3-2 menewaskan musuh tradisi dalam perlawanan berlangsung selama enam jam yang dianggap sebagai ‘pertembungan Nusantara’ itu, menyaksikan Malaysia mara ke pusingan separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

Pencapaian itu juga adalah kemenangan pertama Malaysia ke atas Indonesia dalam sejarah penganjuran kejohanan tersebut.

Greysia, 34, berkata langkah berani Malaysia menurunkan rata-rata pemain muda ke kejohanan berpasukan itu harus diberikan penghormatan.

“Indonesia selalu dihati, berjuang utk bangsa gak boleh luntur. Tapi tetap beri tepuk tangan dan salut sama Malaysia yang memberanikan diri menurunkan tim yang rata-rata semua umur masih muda. Boleh belajar,” menurutnya dalam ciapan di akaun Twitter rasmi @GreysPolii.

Greysia dan pasangannya Apriyani Rahayu yang masih segar dengan kejayaan meraih emas beregu wanita di Tokyo, diberi tentangan sengit pasangan negara Pearly Tan-M. Thinaah sebelum menghadiahkan mata penyamaan buat Indonesia pada perlawanan keempat dengan kemenangan 22-20, 17-21, 21-18.

Mata kemenangan Malaysia disumbangkan gandingan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dengan kejayaan 21-19, 9-21, 21-16 ke atas Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti untuk mara ke separuh akhir berdepan Jepun.

Malaysia dan Jepun dijadual berentap pada 9 malam ini waktu Malaysia. Ia juga kali kedua kedua-dua pasukan bertembung dalam kempen kali ini selepas pasukan negara tewas 1-4 dalam aksi terakhir Kumpulan D, sebelum ini.

Pada masa sama, bekas jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei yang merasai kehangatan pertembungan itu berbangga dengan semangat juang tinggi dipamerkan setiap wakil negara.

Dalam hantaran Facebook rasminya, Chong Wei menyifatkan gandingan Yee See dan Pang Ron bagai ‘dirasuk’ ketika berjuang menghadiahkan mata kemenangan Malaysia.

“Ramai tak kenal pun bergu campuran Malaysia ni. Tapi Cheah Yee See dan Hoo Pang Ron menunjukkan Malaysia tidak lemah, Malaysia tidak akan kalah sewenang-wenangnya. Bagai dirasuk Harimau Malaya, dua pemain muda Malaysia ini menghadiahkan kemenangan ajaib untuk negara tersayang,” tulisnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here