KUALA LUMPUR, 4 Okt  — Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengeluarkan Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2021 bagi memastikan senarai produk dan bahan binaan yang terkandung di dalam jadual itu mengikut standard terkini.

Dalam kenyataan hari ini CIDB memaklumkan Pindaan Jadual Keempat di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520) berkenaan telah diwartakan pada 10 Sept dan dikuatkuasakan pada 13 Sept bagi mengemas kini senarai produk dan bahan binaan.

Menurut CIDB 22 produk baharu dimasukkan, merangkumi satu produk di dalam kategori kaca, lima produk besi dan keluli, 16 produk komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta 28 standard tambahan.

“Pindaan ini bertujuan memastikan setiap produk dan bahan binaan yang digunakan mematuhi standard terkini yang ditetapkan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan awam serta melindungi pengguna daripada mendapat produk dan bahan binaan yang tidak berkualiti,” menurut kenyataan itu.

CIDB memaklumkan penguatkuasaan oleh pihaknya akan bermula pada Mac 2022 sebagai langkah memberi peluang kepada industri untuk lebih bersedia menghayati pindaan itu dan mengambil langkah sewajarnya.

Menurut CIDB surat pekeliling berkenaan pemindaan dan tarikh kuat kuasa telah dikeluarkan kepada semua pihak sama ada individu atau organisasi yang berurusan, mengendalikan, menggunakan, mengilangkan, membekalkan, memasarkan, memindahkan, menjual atau membeli; sama ada secara borong atau runcit, mengimport atau mengeksport produk dan bahan binaan yang tersenarai dalam Jadual Keempat.

Di bawah Akta 520 mana-mana pihak yang didapati bersalah kerana berurusan dengan produk dan bahan binaan tersenarai di dalam Jadual Keempat tanpa perakuan CIDB boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM500,000.

CIDB menyatakan permohonan untuk mendapatkan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) boleh dibuat melalui laman web ccpm.cidb.gov.my selain Perintah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan Jadual Keempat) 2021 boleh dimuat turun daripada laman web rasmi CIDB (www.cidb.gov.my).

Untuk sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi CIDB Careline di talian 03-5567 3300.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here