IPOH, 4 Okt — Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan berimpak tinggi daripada beberapa syarikat dengan jumlah pelaburan bernilai RM2.34 bilion setakat ini dan membuka 4,400 peluang pekerjaan baharu yang akan memacu pemulihan sosioekonomi negeri Perak pada tahun ini.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata pelaburan berimpak tinggi berkenaan adalah daripada syarikat Eco Medi Glove Sdn Bhd, Onetexx Sdn Bhd, PNA Technologies Sdn Bhd, HICOM-Teck See Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Dynacare Sdn Bhd.

“NCIA telah menjalin kerjasama lebih erat dengan kerajaan negeri untuk merancang, melaksana dan menyelaras pembangunan di wilayah yang kurang membangun seperti di Kamunting, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Sitiawan.

“Pelaburan ini dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyumbang ke arah pemulihan ekonomi Perak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (Mesyuarat JPN) Perak secara maya di sini hari ini.

Beliau berkata bagi mempercepatkan proses pemulihan susulan pandemik COVID-19, kerajaan negeri Perak akan terus menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi dalam menjana ekonomi termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pada mesyuarat berkenaan, Saarani turut menyaksikan Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Jabatan Perdana Menteri Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Saarani berkata kerajaan negeri turut menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendigitalisasi dan penerimagunaan teknologi baharu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak 2040.

“Negeri Perak perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah terutamanya sarung tangan.

“Ini memandangkan Perak mempunyai kelebihan dalam industri-industri ini berbanding negeri lain. Promosi berkaitan pelaburan ke negeri Perak perlu diperluaskan agar negeri ini menjadi destinasi tumpuan pelaburan di negara ini,” katanya.  

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingan Issace John berkata bagi memastikan Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA akan terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik, dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Khusus untuk menangani impak COVID-19 pula, beliau berkata NCIA telah melaksanakan dua program ‘fast-track’, JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER dan sehingga kini, kedua-dua program ini telah mewujudkan lebih dari 2,100 peluang pekerjaan dan usahawan baharu di Perak.

“NCIA akan meneruskan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dan melaksanakan program modal insan yang holistik, selaras dengan tema Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat melalui peningkatkan kuasa beli rakyat, merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan kelangsungan hidup,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here