BEIJING, 23 Okt — Presiden Xi Jinping berkata sepanjang tempoh Rancangan Lima Tahun ke-14 pembangunan sosioekonomi China (2021-2025), China akan memastikan kemajuan dan pembangunan  berkualiti di sepangang lembangan Sungai Kuning di samping melindungi ekologi.

Namun, katanya langkah itu memerlukan usaha yang gigih untuk memastikan Sungai Kuning sentiasa memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat negara ini.

“China akan mempergiat pembangunan sistem bersepadu bagi mencegah banjir dan mengurangkan bencana, menetapkan tindak balas kecemasan pencegahan banjir dan kemarau serta menjamin keselamatan sepanjang tebing sungai tersebut itu.

“Sejak 2012, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan hijau, mengintensifkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan gunung, sungai, hutan, ladang pertanian, tasik dan rumput serta mengawal pasir, sehingga mencapai kemajuan ketara dalam pembangunan tamadun ekologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di simposium di bandar Jinan, provinsi Shandong di timur China pada Jumaat.

Selain itu, Xi berkata China merancang mewujudkan Taman Negara Sungai Kuning yang menjadi komponen penting bagi usaha perlindungan ekologi di Delta Sungai Kuning.

“China akan mengutamakan perlindungan ekologi dan pembangunan hijau dalam proses memperjuangkan matlamat seratus tahun kedua,” katanya.

Sungai Kuning sepanjang 5,464 kilometer juga dikenali sebagai sungai besar, terletak di bahagian utara China. Sungai itu dianggap sebagai tapak asal usul tamadun China, dan digelar  “sungai ibunda” bagi masyarakat China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here