KUALA LUMPUR, 26 Okt — Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin, kata Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat dan pertanyaan mengenai ejen serta pihak ketiga menawarkan perkhidmatan menguruskan pendaftaran program itu kepada majikan yang ingin menggaji pendatang tanpa izin dan pendatang tanpa izin yang ingin pulang ke negara dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu.

“Ada antara ejen dan pihak ketiga berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat pembekal tenaga kerja bagi memancing majikan untuk menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang urusan dengan ejen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi dan pendaftaran program itu boleh dilakukan secara terus di laman sesawang www.imi.gov.my.

Khairul Dzaimee berkata orang ramai juga dinasihatkan supaya berurusan terus dengan imigresen dan sentiasa mengikuti perkembangan serta pengumuman terkini mengenai Program Rekalibrasi.

Menurutnya maklumat lanjut mengenai program itu boleh didapati melalui Sistem Pertanyaan Online di pautan www.imi.gov.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here