PUCHONG, 31 Okt– Empat Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak yang mula beroperasi tahun ini berfungsi memberikan perkhidmatan sosial secara holistik kepada penduduk di sekitar Lembah Klang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata pada masa ini tumpuan diberikan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana pihaknya mendapati banyak kes berkaitan masalah psikososial dilaporkan di kawasan berkenaan.

“PSSS bergerak ini beroperasi selama enam hari seminggu dan buat masa sekarang kita fokus pada kawasan yang berkepadatan tinggi supaya kita lebih dekat dengan masyarakat. Selain itu, sekiranya ada permintaan daripada penduduk setempat untuk kami memberikan perkhidmatan di kawasan mereka, kami akan cuba penuhi.

“Pusat ini diwujudkan bagi tujuan membantu menangani isu-isu psikososial yang semakin menular dalam masyarakat. Perkhidmatan yang disediakan seperti kaunseling secara bersemuka atau dalam talian, khidmat nasihat dan bimbingan, intervensi serta khidmat perlindungan sementara,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran PSSS, di sini hari ini.

Beliau berkata RM21 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan tujuh PSSS tahun ini, iaitu tiga PSSS statik atau premis di Kelantan, Johor serta Selangor dan empat lagi PSSS bergerak termasuk satu pejabat satelit di Kuala Lumpur.

Rina berkata pihaknya juga menerima peruntukan RM4.5 juta di bawah Bajet 2022 yang akan digunakan bagi menambah baik PSSS sedia ada, dan membuka tiga PSSS bergerak yang baharu tahun hadapan.

Kurang daripada sebulan beroperasi, beliau berkata PSSS telah menerima 30 aduan berkaitan masalah emosi dan tekanan akibat ekonomi.

“Dalam keadaan sekarang, yang dekat dengan rakyat adalah komuniti. Kami berharap PSSS ini akan menjadi tempat rujukan setempat sekiranya mereka ada aduan, ia macam pusat sehenti yang membantu rakyat berkaitan isu-isu emosi dan psikososial.

“Ini adalah inisiatif kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam menyediakan perkhidmatan dari segi psikososial dan menjadi satu pusat yang rakyat boleh terus datang,” katanya.

Sementara itu semasa berucap Rina berkata PSSS merupakan hasil buah fikiran beliau dengan dukungan YKN, seiring dengan kerajaan Keluarga Malaysia yang menitikberatkan kemaslahatan sosial dari aspek kesejahteraan mental dan fizikal.

“Selaku pengemudi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), saya seringkali memikirkan solusi-solusi terbaik bagi membantu rakyat yang berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan mental dan jiwa, khususnya yang dihadapi oleh golongan muda bekerjaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here