KUALA LUMPUR, 9 Nov — Pertimbangan kemampanan telah menjadi ciri penting dalam landskap ekonomi dan kewangan global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Bloomberg Intelligence mengunjurkan aset alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di bawah pengurusan akan melebihi US$53 trilion menjelang 2025, peningkatan besar daripada US$30.6 trilion pada 2018, membentuk satu pertiga daripada semua unjuran aset di bawah pengurusan. 

Di Malaysia, katanya, kesedaran mengenai pertimbangan kemampanan ESG semakin meraih momentum.

“Sebagai contoh, Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB) telah menjadi sebahagian daripada Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seawal 2008. 

“Bagaimanapun, lebih 75 peratus daripada 109 peserta Malaysia dalam Global Compact itu hanya menyertainya pada awal 2019,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau pada Dialog Majlis Tindakan Ekonomi (EAC): Menggerakkan Kemampanan: Mempersiapkan Ekonomi bagi Cabaran Iklim yang diadakan secara maya, hari ini. 

Mustapa berkata penerimagunaan amalan ESG dalam kalangan korporat di Malaysia semakin ketara dengan lebih banyak syarikat dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.

Sejak dimulakan pada 2014, indeks itu telah berkembang daripada 24 syarikat kepada 76 setakat Jun 2021.

“Melihat kepada skor FTSE Emerging, bagi Malaysia dan kebanyakan negara, syarikat-syarikat mencatatkan prestasi paling kukuh dalam dimensi tadbir urus, diikuti sosial dan alam sekitar,” katanya.

Sektor kewangan juga sedang bergerak menuju hala tuju yang sama.

Beliau berkata institusi kewangan Islam Malaysia mula menyepadukan pertimbangan ESG ke dalam strategi dan operasi perniagaan mereka dengan pengenalan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) oleh Bank Negara Malaysia pada 2017.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga mengeluarkan garis panduan mengenai dana Pelaburan Mampan dan Bertanggunggjawab (SRI) pada 2017 dan Pelan Tindakan SRI bagi Pasaran Modal Malaysia (Pelan Tindakan SRI) pada 2019.

Pada April tahun ini, bank pusat memperkenalkan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip bagi menggalakkan institusi kewangan menyepadukan pertimbangan perubahan iklim dalam semua aspek strategi dan operasi perniagaan mereka.  

“SC juga sedang membangunkan taksonomi SRI untuk mengkategorikan dengan lebih cekap pelaburan mampan daripada pelaburan yang kurang mampan,” kata Mustapa.

Pada awal Ogos, kerajaan mengumumkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) bagi memperkukuh enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Ini akan menyaksikan pertimbangan ESG menjadi perkara utama dalam keputusan pelaburan aset negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here