BENTONG, 14 Nov — Tiga prinsip asas dalam hubungan antara etnik iaitu faham, hormat dan terima menjadi penekanan dalam merangka pelan KAMI@ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025, kata Menteri Perpaduan Negara (KPN) Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia memerlukan rakyat negara ini meraikan perbezaan dalam kepelbagaian dengan pelan itu merupakan inisiatif berfokus kementerian mengukuhkan penyatupaduan menerusi tiga prinsip asas tersebut.  

Halimah berkata empat dimensi utama dalam pembentukan sebuah Keluarga Malaysia iaitu karib, aksesibiliti, majmuk dan inklusiviti yang membawa kepada penggunakan ‘KAMI’ dalam pelan perpaduan itu, juga merupakan tumpuan utama pelaksanaannya. 

“KAMI@ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia ini merupakan modul program dan aktiviti yang signifikan sebagai usaha mengukuhkan agenda perpaduan negara berpusatkan rakyat, supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan memberi impak sebaiknya. 

“Demi memastikan pembangunan pelan ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, kementerian mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama menyumbang cadangan, idea dan komen yang konstruktif demi mencapai perpaduan yang diidamkan,” katanya. 

Halimah berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas Rakyat KAMI@ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dan Program Pemerkasaan Skuad Uniti RT Cares di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Pelan perpaduan itu juga, menurut Halimah dirangka selari dengan teras Dasar Perpaduan Negara dan aspirasi Rangka Tindakan (blueprint) Perpaduan Negara serta Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2022-2030 yang bermatlamatkan mencapai kesepaduan sosial dan perpaduan mampan. 

KPN juga telah bekerjasama dengan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk megenal pasti dan merangka pelan perpaduan itu, dengan kajian dilakukan di lima zon iaitu utara, tengah, timur, selatan dan Borneo.

Halimah berkata pelan itu buat kali pertama dibawa ke Pahang untuk sesi maklum balas dengan proses itu dijangka berjalan selama sebulan bagi membolehkan ‘ia dibawa ke setiap daerah’ untuk KPN mendapat input secara langsung daripada semua pihak. 

Berhubung program pemerkasaan Uniti RT Cares, Halimah berkata ia merupakan inisiatif memperluaskan peranan skuad sukarelawan itu yang telah ditubuhkan di peringkat komuniti rukun tetangga pada 2014 dengan nama skuad uniti dan setakat ini, terdapat 125 skuad di seluruh negara. 

“Pemerkasaaan ini turut melibatkan peranan skuad dalam meningkatkan kualiti, keharmonian dan kesejahteraan komuniti rukun tetangga yang terjejas dengan pandemik COVID-19 antaranya melalui agihan kotak makanan dan bantuan kebajikan ziarah perpaduan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here