KUALA LUMPUR, 30 Nov — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai pekebun kecil pintar dari segi teknologi menerusi usaha pemodenan perkhidmatan selain meningkatkan aspek penggunaan teknologi tersebut.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ini penting bagi membolehkan kementerian membantu merealisasikan kesejahteraan pekebun kecil, terutamanya dengan meningkatkan pendapatan mereka.

Sehubungan itu, kementerian akan mengutamakan dua aspek iaitu memperluas tanaman integrasi dengan tanaman kontan atau ternakan dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka terutama dalam kategori B40.

Tumpuan lain adalah bertindak memperkukuh peranan koperasi agar sokongan dan pencapaian yang lebih baik dapat disalurkan kepada pekebun kecil, katanya.

“Kita akan melaksanakan model pengurusan baharu atau mengukuhkan skim sedia ada untuk menstruktur semula serta menyokong mereka seperti koperasi yang lebih moden, perladangan kontrak, ladang kluster dan perusahaan sosial.

“Malah, kementerian akan turut mengoptimumkan pelaksanaan program jaringan keselamatan sosial untuk mengekalkan pendapatan dengan mengenal pasti keperluan mereka berdasarkan analisis maklumat seperti sumber pendapatan, kesihatan dan kebajikan,” katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam Buletin Bernama bersempena Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari di sini, hari ini.

Zuraida berkata kementerian akan turut mempelbagaikan kaedah penyampaian perkhidmatan menerusi peningkatan penggunaan teknologi untuk berhubung dan menyokong pekebun kecil termasuk perkongsian maklumat dalam talian, platform untuk akses kepada pengetahuan teknikal dan khidmat nasihat dalam talian.

Mengulas prestasi atau kad laporan sepanjang 100 hari menerajui kementerian, Zuraida berkata beliau berjaya melaksanakan tiga AKM dengan pencapaian 100 peratus iaitu peningkatan nilai eksport sektor agrikomoditi, memuktamadkan prosedur operasi standard pengambilan pekerja asing bagi sektor perladangan serta menyediakan dasar agihan input bantuan secara lebih bersasar bagi manfaat pekebun kecil sawit dengan pegangan tanah di bawah 10 hektar.

Menurutnya, sehingga September 2021, sektor agrikomoditi telah mencatat nilai eksport sebanyak RM154.7 bilion iaitu pencapaian sebanyak 86 peratus daripada sasaran berjumlah RM180 bilion.           “Ini didorong oleh faktor peningkatan eksport produk utama seperti minyak sawit berasaskan sawit dan sarung tangan getah. Nilai eksport getah asli dan produk getah telah meningkat sebanyak 88.5 peratus kepada RM59.1 bilion manakala sawit sebanyak 43.3 peratus kepada RM74.4 bilion,” katanya.

Beliau berkata, eksport perkayuan meningkat 1.2 peratus kepada RM15.9 bilion dan menjadi penyumbang eksport ketiga terbesar selepas sawit dan getah.

KPPK sebelum ini mengunjurkan nilai eksport agrikomoditi negara tahun ini meningkat 34 peratus kepada RM204 bilion berbanding RM152 bilion pada 2020 seiring dengan peningkatan harga sawit di pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here