KUCHING, 2 Dis — Sarawak berhasrat melihat lebih banyak laluan baharu dan peningkatan kekerapan penerbangan terus dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Kota Kinabalu berikutan sekatan perjalanan di negeri itu dilonggarkan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kelonggaran beberapa sekatan yang dikenakan akibat pandemik COVID-19 menyebabkan Sarawak memberi tumpuan kepada pelancongan domestik menerusi usaha Lembaga Pelancongan Sarawak memperkenalkan pakej pelancongan ‘Sia Sitok’. 

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan semestinya ia membantu industri semasa waktu mencabar ini, (dan) membuatkan pengunjung tempatan lebih mengetahui mengenai negeri kita sendiri. Ini membuktikan bahawa banyak potensi untuk pelancongan domestik,” katanya.

Bercakap pada majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung Malaysia Airlines dari Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini, beliau berharap syarikat penerbangan itu akan bekerjasama dengan Sarawak dalam meningkatkan penerbangan terus ke negeri itu.

“Kesalinghubungan sentiasa menjadi cabaran (di Sarawak), justeru laluan terus ke Sarawak dari Pulau Pinang sangat dialu-alukan. Kesalinghubungan dan kebolehcapaian menjana mobiliti lebih besar yang akan memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua destinasi,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) yang mengendalikan Malaysia Airlines dalam kenyataan pada majlis itu memaklumkan pihaknya mewujudkan semula penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu, Sabah bermula sekarang hingga Mac tahun depan berikutan maklum balas kepada trend positif dalam permintaan untuk perjalanan domestik.

Pelanggan untuk sektor ini boleh menikmati tambang rendah bermula RM219 (Pulau Pinang-Kota Kinabalu) dan RM279 (Pulau Pinang-Kuching).

“Tidak lama lagi, laluan berkenaan akan dikendalikan oleh anak syarikat penerbangan itu, Firefly bermula April 2022, menyambung semula operasi jetnya berpangkalan di Pulau Pinang yang digantung sejak April 2021 disebabkan perintah kawalan pergerakan berpanjangan yang menyebabkan kekurangan permintaan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, satu lagi anak syarikat penerbangan tersebut, MASWings telah meningkatkan operasinya dari Kuching ke Miri kepada 12 kali seminggu dan tujuh kali seminggu dari Kota Kinabalu ke Miri sejak 1 Dis bagi menandakan komitmennya meningkatkan kesalinghubungan udara, khususnya ke kawasan luar bandar Borneo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here