SINGAPURA, 2 Dis — Singapura menyambut baik penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di pulau itu pada 2022, yang akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan Singapura dengan Johor, menurut Kementerian Luar Negeri (MFA) republik itu.

Kenyataan itu dikeluarkan MFA susulan lawatan menterinya Dr Vivian Balakrishnan ke Johor pada Khamis untuk mengukuhkan kembali hubungan sekian lama dan mesra antara Singapura dan Johor.

Semasa lawatan itu, kementerian berkata Balakrishnan dan pemimpin Johor bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama baharu antara Singapura dan Johor.

MFA berkata Balakrishnan juga mengulangi sokongan berterusan Singapura terhadap usaha Johor untuk memerangi pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Singapura hari ini menyumbang sebanyak 100,620 dos vaksin Pfizer-BioNTech, yang diserahkan kepada kerajaan negeri Johor melalui yayasan Sultan Johor, Yayasan Sultan Ibrahim Johor, katanya.

Kenyataan itu menyebut Balakrishnan mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam majlis makan tengah hari yang dihoskan baginda.

Menteri berkenaan menyampaikan jemputan Perdana Menteri Lee Hsien Loong kepada Sultan Ibrahim untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dalam masa terdekat.

Beliau turut bertemu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Balakrishnan juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Mereka menyambut baik pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) pada 29 Nov 2021 menerusi perjalanan udara dan perjalanan darat merentasi Tambak, katanya.

“VTL adalah cerminan hubungan kerjasama yang baik antara Singapura dan Malaysia, termasuk kerajaan negeri Johor, dan membina usaha awal kedua-dua pihak untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan semasa pandemik dengan cara yang selamat,” kata kementerian itu.

MFA menyatakan kedua-dua pihak juga membincangkan kemungkinan mengadakan lebih banyak pertukaran antara pegawai perkhidmatan awam, termasuk melalui pertukaran profesional dan program pembinaan kapasiti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here