KEPALA BATAS, 4 Dis — Lima badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Muslim Care mengambil inisiatif membina sebuah penempatan sementara, Wakaf Short StayUnit bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kepala Batas, di sini.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata pihaknya peka akan situasi yang dihadapi hospital berkenaan dalam menempatkan pesakit COVID-19 yang saban hari kian meningkat kerana mengalami kekangan katil hospital dan lain-lain kelengkapan sehingga tercetusnya idea untuk membina wakaf tersebut yang bermula pada 1 Sept lepas.

“Pembinaan wad sementara ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada pesakit COVID-19 sebelum mereka mendapat rawatan lanjut di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kepala Batas yang boleh menempatkan 15 orang dalam satu masa. Syukur, ia telah pun siap dibina pada 27 Okt lepas.

“Antara kelengkapan yang disediakan 15 katil pesakit, penyaman udara, mesin oxygen concentrator, tandas dan lain-lain kemudahan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Wakaf Short Stay oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad di sini hari ini.

Zulkifli berkata empat lagi NGO yang terlibat dalam cetusan pembinaan wakaf melibatkan kos RM100,000 itu adalah Khidmat Malaysia, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (Papisma) Pulau Pinang dan Ummah Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here