JASIN, 6 Dis — Kadar vaksinasi yang tinggi selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat mampu mengawal kadar jangkitan COVID-19 sekali gus mengekang tercetusnya kluster.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kadar kes COVID-19 hanya meningkat 4.3 peratus menerusi indikasi kesan dalam masa dua minggu bermula pada tempoh PRN Melaka berakhir iaitu 20 Nov hingga semalam.

“Terdapat pertambahan kes sebanyak 2,989 daripada 20 Nov hingga Ahad lepas iaitu kenaikan sebanyak 4.3 peratus berbanding PRN Sabah yang merekodkan kenaikan dalam minggu pertama dengan melebihi 70 peratus.

“Maka, ini menunjukkan satu penanda yang positif bagi segala usaha yang telah dilakukan kerajaan dalam menangani wabak ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhamad Akmal berkata hanya satu kluster dikenal pasti tercetus melibatkan PRN Melaka iaitu berpunca daripada seorang tenaga pengajar sebuah pusat tahfiz dan bertugas sebagai jentera parti ketika kempen pilihan raya.

Beliau berkata ia membabitkan Kluster Pulau Gadong yang melibatkan dua pusat pengajian di kawasan berkenaan selepas individu tersebut didapati positif pada 25 Nov dengan setakat ini seramai 41 pelajar dan tenaga kerja didapati positif selepas saringan dijalankan ke atas 185 kontak rapat.

“Kedua-dua pusat tahfiz itu telah diarahkan tutup selama dua minggu hingga 17 dan 18 Dis manakala kesemua mereka yang positif berusia 9 hingga 33 tahun itu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here