KUALA LUMPUR, 20 Dis — Peronda lebuh raya digesa mengadakan rondaan dengan lebih kerap terutama di kawasan hotspot kemalangan termasuk di lorong kecemasan bagi memastikan tiada kenderaan berhenti terlalu lama sehingga terlibat dalam nahas.

Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Siti Zaharah Ishak berkata kekerapan rondaan akan dapat meminimumkan tempoh tindak balas kecemasan untuk tiba di kawasan kemalangan.

“Ada pengguna jalan raya yang kurang kesedaran terhadap tindakan yang perlu dilakukan semasa berlakunya kecemasan di lebuh raya sehingga mengambil terlalu lama masa untuk bertindak.

“Apatah lagi impak pelanggaran di antara kenderaan sedang bergerak laju dengan objek statik atau kenderaan berhenti adalah lebih besar dan boleh menyebabkan keparahan serius atau kematian. Oleh itu, rondaan yang kerap dan bantuan segera dapat mengurangkan risiko terdedahnya kepada kemalangan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian pada Jumaat lepas, seramai 10 individu maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE yang menghala Shah Alam.

Mereka terdiri daripada sembilan beranak iaitu ibu dan lapan anaknya serta seorang mekanik lelaki.

Berdasarkan analisis awal insiden itu, Siti Zaharah berkata ia boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk keadaan hujan dan waktu malam yang menyebabkan tindak balas pemandu untuk menjangkakan objek di hadapan kurang tepat.

“Dengan kadar penglihatan yang terhad,  pemandu treler tidak dapat mengagak jenis kenderaan, bilangan kenderaan, kenderaan berhenti atau bergerak.

“Justeru itu, pemandu treler mungkin lewat membuat keputusan untuk bertindak dengan mengambil kira faktor menekan brek dan impak muatan yang dibawa oleh treler itu.

“Saya percaya jarak untuk berhenti adalah terlalu pendek sehingga treler tidak dapat mengelak dan merempuh kenderaan yang berhenti di bahu jalan,” katanya.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Zulhaidi Mohd Jawi pula berkata siasatan menyeluruh diperlukan sebelum sebarang penjelasan yang tepat dapat diberikan. 

Beliau berkata sekiranya kenderaan terpaksa dihentikan di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan, penumpang di dalam kenderaan itu dinasihatkan keluar dan menunggu di luar penghadang jalan untuk memastikan faktor keselamatan.

“Lorong kecemasan lebuh raya adalah kawasan berisiko tinggi sebab purata kenderaan bergerak adalah lebih laju berbanding di jalan biasa.

“Pengguna yang memberhentikan kenderaan mereka juga dinasihat menggunakan bantuan alat kecemasan seperti meletakkan segi tiga amaran di kedudukan yang betul dan perlu memaklumkan segera kepada peronda lebuh raya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here