LENGGONG, 22 Dis — Pengiktirafan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan diharapkan dapat mengekalkan kelestarian alam semula jadi sekali gus menjana pendapatan rakyat melalui pelbagai kegiatan ekonomi seperti kewujudan kawasan penginapan pelancongan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata ini satu pengiktirafan kepada semua pihak yang telah menjayakan pelbagai program perancangan sejak tahun lepas sebelum ia diangkat sebagai Geopark Kebangsaan baru-baru ini.

“Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012, kini, Lenggong diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan iaitu merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan dan besar ertinya kepada Lenggong dan Negeri Perak serta pastinya Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Menurut Shamsul Anuar, Lenggong Geopark yang  berkeluasan 2,068 kilometer persegi itu kaya dengan pelbagai keunikan landskap batuan yang terdapat 27 geotapak, lapan biotapak warisan biologi dan 18 tapak budaya dan diakui oleh para penyelidik.

“Sewaktu saya mengetuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dahulu, saya minta penyelidikan dibuat di Lenggong kerana saya yakin Lenggong mampu ke hadapan dalam sektor pelancongan,” jelas bekas menteri KETSA tersebut.

Menurut Shamsul Anuar jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta dan masyarakat Lenggong digesa supaya mengambil peluang ini agar sama-sama mendapat manfaat seterusnya berusaha mengangkat Lenggong sebagai Global Geopark pada 2023 nanti.

Dilapor, Lenggong, Perak dan Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang  baharu di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan yang diterajui KETSA selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Perak; Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah dan Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah.

Pengiktirafan dua lokasi tersebut sebagai Geopark Kebangsaan telah dibuat pada 16 Dis 2021 semasa  Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021.

Turut dilapor, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pengiktirafan Lenggong dan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan adalah satu pencapaian signifikan kepada negara, khususnya kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam pemeliharaan kelestarian alam semula jadi.

Menurutnya, kerjasama erat antara kementerian dengan kerajaan negeri dapat memastikan Geopark Kebangsaan diurus secara baik di samping meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat khususnya di kawasan dalam wilayah Geopark Kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here