KINABATANGAN, 30 Dis — Siapa yang tidak gemar makan roti? Roti putih mahupun roti berinti menjadi pilihan sebagai sajian yang enak dimakan bersama keluarga, digandingkan pula dengan kopi atau teh sewaktu pagi atau petang.

Tidak kira apa pun kaedah menjual roti, sama ada secara bergerak menggunakan kenderaan, atau dijual di premis seperti kedai, kafe dan pasar raya, pastinya mendapat sambutan menggalakkan sehingga adakala habis terjual.

Melihat prospek tersebut, seorang usahawan luar bandar Hadiza Lahi, 40, dari Kampung Lot M di sini, terdorong untuk meneroka lebih luas potensi pasaran roti putih dan roti berinti bermula Mac tahun lepas apabila perniagaan keknya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bercakap kepada Bernama, Hadiza mahu lebih serius mengembangkan jenama MC Bakery miliknya yang kini mengeluarkan roti putih, selain dua jenis roti berinti kacang hitam dan pandan.

Menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan pembungkusan yang menarik, beliau optimis produknya mampu melebarkan sayap ke seluruh negara.

“KBBM sememangnya banyak membantu saya mengembangkan perniagaan roti terutama ketika pandemik COVID-19 yang mula melanda negara pada Mac 2020.

“Saya juga tidak menyangka ia menjadi sumber pendapatan sehingga membolehkan saya mengambil tiga orang pekerja bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Meskipun beroperasi secara dalam talian menerusi laman Facebook MC Bakery, susulan Perintah Kawalan Pergerakan ketika itu, produknya mendapat permintaan tinggi termasuk untuk menyediakan bekalan roti kepada petugas barisan hadapan di sini, malah mendapat tempahan dari luar kawasan seperti Semenanjung, Singapura dan Brunei.

Hadiza berkata beliau percaya dengan adanya KBBM, perniagaan usahawan luar bandar mampu melonjak, bukan hanya dengan sokongan masyarakat setempat tetapi juga jaringan internet yang luas, memandangkan perniagaan secara maya kini menjadi trend kerana lebih praktikal.

KBBM dilaksanakan secara berterusan saban tahun bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana (IKS) melonjakkan jenama produk mereka, selain meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan.

Kempen itu turut diharap dapat membantu memulihkan ekonomi negara daripada impak pandemik COVID-19.

Sementara itu, Hadiza terus mengorak langkah dengan menaik taraf kualiti pembungkusan termasuk mendaftar paten serta jenama produk rotinya, serta dalam masa sama sedang mendirikan sebuah kilang roti di sini bagi meningkatkan pengeluaran.

Katanya beliau turut dibantu oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DiDR) Sabah, SIRIM, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Pertanian Kinabatangan.

Menurut Hadiza pembungkusan produk amat penting bagi menarik pembeli, lebih-lebih lagi untuk perniagaan secara dalam talian. 

“Saya sendiri melihat impak kepentingan pembungkusan dan pelabelan apabila penjualan produk roti keluaran MC Bakery melonjak naik sehingga 90 peratus berbanding sebelum itu (pelabelan dan pembungkusan) iaitu hanya sekitar 30 peratus sahaja.

“Justeru, saya yakin produk roti usahawan luar bandar seperti saya mampu bersaing dengan produk roti jenama lain, malah mungkin boleh berkembang sehingga ke luar negeri Sabah kerana kini semuanya di hujung jari, kuasa membeli di internet sangat tinggi,” katanya, yang turut berharap kerajaan akan dapat menaik taraf prasarana telekomunikasi luar bandar terutama di Kinabatangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here