IPOH, 4 Jan  — Polis Perak berjaya membongkar 16 premis di sekitar daerah Manjung yang dijadikan lokasi melombong bitcoin dengan nilai rampasan sebanyak RM1.6 juta dalam operasi bermula petang semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah melaksanakan ‘Op Letrik TNB’  bermula pukul 3 petang semalam sehingga 4 pagi bagi menghapuskan kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi tujuan melombong bitcoin.

Katanya operasi itu melibatkan seramai 155 pegawai dan anggota polis dengan dibantu sembilan juruteknik khas TNB dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 47 premis di sekitar kawasan Manjung telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 buah premis telah dikesan menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.  

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis telah merampas sejumlah 816 unit mesin bitcoin, 15 unit monitor, 17 Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan 16 unit router Internet,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata kesemua kes itu disiasat di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Polis akan terus mempertingkatkan usaha dalam menjalankan operasi dan serbuan serta tidak akan berkompromi dalam membendung  kegiatan kecurian bekalan elektrik di seluruh negeri perak.

“Pemilik bangunan yang menyewakan premis turut disaran untuk mengambil tahu aktiviti yang dilakukan oleh penyewa premis agar tidak terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Pada 30 Dis lepas, seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti melombong bitcoin secara tidak sah serta terlibat mencuri elektrik dengan nilai rampasan sebanyak RM3.5 juta di sekitar daerah Manjung.

Mior Faridalathrash berkata suspek berumur 28 tahun itu yang bekerja di sebuah premis perniagaan ditahan di Ayer Tawar di sini dalam Operasi Bersepadu Khas Bitcoin terhadap 30 premis yang didapati menjalankan aktiviti melombong bitcoin secara tidak sah serta melakukan perbuatan mencuri elektrik.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here