KUALA TERENGGANU, 12 Jan — McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd (McCormick) telah memilih Terengganu untuk dijadikan sebagai hab pelaburan berasaskan makanannya dengan nilai pelaburan lebih RM360 juta melalui projek mega berimpak tinggi tanaman lada hitam di daerah Setiu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia selari dengan dasar kerajaan negeri menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang memfokuskan kepada pengeluaran tanaman makanan.

Beliau berkata sebelum ini syarikat tersebut telahpun menjalankan bukti konsep (POC) penanaman lada hitam di atas tanah beris seluas 20 hektar di Mukim Merah, Setiu, sejak 2015 yang berasaskan kepada pertanian pintar, menggunakan aplikasi internet pelbagai benda (IOT).

“Keputusan POC menunjukkan hasil yang amat positif menjadikan pihak McCormick bersedia untuk meningkatkan pelaburan di Terengganu kepada pengeluaran berskala komersial,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Penanaman Lada Hitam Di Daerah Setiu antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dengan McCormick di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Pada majlis itu McCormick diwakili Pengarah Urusannya, Hector William Ingram; LTAWNT diwakili Seiausahanya Nor Azam Abdul Rahman, manakala TADC diwakili Pengurus Besar Azhar @ Wahab Jusoh.

Ahmad Samsuri berkata untuk pelaksanaan projek tanaman lada hitam itu kerajaan negeri bersetuju menyediakan sebidang tanah seluas 600 hektar yang terletak bersebelahan dengan tapak POC sebelum ini.

Beliau berkata dengan adanya pelaburan seumpama itu ia dapat memanfaatkan bukan sahaja kerajaan negeri malah rakyat juga akan merasai limpahan ekonomi daripada projek berimpak tinggi itu.

“Ia juga memberi gambaran kepada pelabur lain bahawa Terengganu sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pelabur untuk datang ke negeri ini dan melabur dalam apa sahaja industri seperti pertanian, petrokimia dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, melalui projek itu juga kerajaan negeri menyasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan bakal disediakan untuk rakyat Terengganu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan dalam beberapa fasa dan tanaman pertama dijangka bermula pada September depan.

“Pokok lada hitam ini mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk dituai dan boleh dituai dua kali setahun dan proses menuai memerlukan tenaga kerja manusia sepenuhnya. Jadi kita jangka banyaklah peluang pekerjaan akan disediakan nanti sekali gus akan mengurangkan kadar pengangguran di kawasan sekitar,” katanya.

Selain itu, katanya, teknologi dalam bidang pertanian di Terengganu terutamanya di Setiu akan dapat dipertingkatkan dengan perkongsian kepakaran untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.

“Dengan pemindahan teknologi ini juga ia dapat menjadikan sumber manusia di Terengganu lebih berdaya saing selaras dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu (GPMT),” kata Azman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here