KUALA LUMPUR, 11 Jan — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada usahawan golongan B40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sumbangan itu diagihkan kepada 200 penerima dengan setiap usahawan akan memperolehi RM500 setiap seorang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melancarkan inisiatif itu berkata sumbangan itu merupakan pelengkap kepada peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang pernah disalurkan kepada usahawan asnaf sebelum ini.

“Sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah KPDNHEP, SSM turut menyahut seruan kerajaan di bawah konsep kebersamaan dalam Keluarga Malaysia yang menyarankan agar semua pihak berganding bahu membantu dan menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, dari 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2021 SSM telah mengagihkan wakalah zakat korporat sebanyak RM7,521,463,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata antara golongan yang menerima wakalah zakat korporat itu adalah asnaf, fakir, miskin, mualaf, gharimin dan penerima fisabilillah yang terdiri daripada masjid, surau, sekolah-sekolah serta hospital di seluruh negara.

“Manakala bagi pengagihan peruntukan CSR bagi tempoh yang sama pula, SSM telah menyalurkan sebanyak RM424,309 kepada golongan yang memerlukan.

“Sumbangan ini diharapkan dapat memberi kelegaan kepada golongan B40 untuk membina semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here