IPOH, 28 Jan — Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuan restoran di Stesen 18, di sini malam tadi, yang rakaman video pergaduhan itu menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kedua-dua lelaki berumur 27 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan kira-kira pukul 11.51 malam mengenai kejadian rusuhan, yang dikatakan bermula dengan tindakan seorang lelaki melarikan diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit oleh seorang suspek.

Beliau berkata semasa melarikan diri apabila dikejar suspek, kenderaan lelaki itu melanggar sebuah kereta lain di lokasi berkenaan, sebelum berlaku rusuhan yang turut melibatkan sekumpulan remaja.

“Kenderaan lelaki itu dirosakkan dengan menggunakan kerusi plastik, batu serta kon plastik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih berusaha mengesan saki baki suspek yang terlibat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh serta khianat.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan pihak polis serta tidak menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here