JASIN, 10 Feb — Jabatan Kesihatan Melaka menyasarkan 50 peratus atau 49,300 daripada 98,600 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negeri ini menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) menjelang penghujung Februari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sejak pendaftaran dibuka melalui aplikasi MySejahtera, lebih 15,000 ibu bapa telah menyatakan persetujuan untuk membenarkan anak mereka divaksin.

“Kita akui kebimbangan yang dirasai ibu bapa. Tapi saya percaya akan lebih ramai ibu bapa akan mengambil langkah melindungi anak mereka memandangkan setakat semalam, sudah 1,360 kanak-kanak telahpun divaksin sejak program vaksin kanak-kanak dilancarkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Dato’ Haji Ahmad Ithnin di sini, hari ini. 

Beliau berkata pemberian vaksin bagi tujuan perlindungan ke atas kanak-kanak dalam kategori umur tersebut penting memandangkan sejak 3 Feb hingga semalam, terdapat 431 kes jangkitan di bawah umur 12 tahun direkodkan di Melaka. 

Jumlah itu, katanya, menunjukkan kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak di Melaka adalah tinggi dan dijangka melonjak dengan adanya kluster pendidikan yang menjadi penyumbang kedua terbesar selepas kluster komuniti dan tempat kerja. 

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan 11,755 kanak-kanak yang dijangkiti COVID sejak bermulanya pandemik, kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun merekodkan 7,738 kes manakala satu hingga tiga tahun sebanyak 3,297 kes dan bakinya bagi yang berumur bawah setahun. 

“Malah di Melaka juga merekodkan empat kematian melibatkan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun akibat COVID-19,” katanya. 

Dr Muhamad Akmal berkata kadar kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) COVID-19 masih rendah malah tiada isu kekurangan kakitangan atau doktor pakar untuk memberi rawatan kepada kanak-kanak. 

“Ini kerana rata-rata yang dijangkiti adalah pada tahap satu dan dua sahaja, sekali gus membuktikan keberkesanan vaksin dalam melindungi masyarakat, khususnya kanak-kanak daripada dijangkiti penyakit ini,” katanya.

Beliau juga bercadang untuk mengadakan unit bergerak pemberian vaksin ke sekolah-sekolah bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin dalam kalangan pelajar sekolah. 

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan cadangkan ia digerakkan selepas pembukaan sesi sekolah depan. Kita lihat berapa ramai ibu bapa dan sekolah yang akan beri persetujuan dan aturkan mengikuti lokaliti.

“Saya faham, mungkin ibu bapa tiada masa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksin disebabkan kekangan kerja dan sebab itulah kita bercadang untuk melaksanakan pusat pemberian vaksin bergerak ke sekolah-sekolah bagi memudahkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu mendapatkan vaksin,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here