SHAH ALAM, 14 Feb — Pertambahan jumlah warga emas berumur 65 tahun dan ke atas mengikut Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 akan membantu negara dalam menggubal dasar dan bersiap sedia bagi menghadapi situasi Malaysia sebagai negara menua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hasil banci itu menunjukkan 6.8 peratus daripada 32.4 juta penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada 1.4 juta orang pada 2010.

“Ini adalah penemuan penting dalam konteks Keluarga Malaysia menjadi negara menua,” katanya pada sidang media berkenaan pengumuman Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini. 

Beliau berkata mengikut jangkaan pada tahun 2030 warga emas berumur 65 tahun dan ke atas akan berjumlah lebih 10.3 peratus atau 4.1 juta orang. 

Katanya fenomena negara menua merupakan situasi yang turut berlaku di seluruh dunia yang akan memberi pengaruh dari segi pelaburan untuk kesihatan, pendidikan dan perumahan.

Mustapa berkata situasi itu juga sejajar dengan laporan kadar purata pertumbuhan penduduk yang menurun pada 2020 iaitu pada 1.7 peratus berbanding 2.1 peratus yang dicatatkan pada banci 2010. 

“Data ini juga menunjukkan bahawa kadar kesuburan dan bilangan anak berkurangan, menyebabkan purata isi rumah juga berkurang,” katanya. 

Katanya menurut hasil banci pada 2020, purata isi rumah adalah seramai 3.8 orang berbanding 4.3 orang pada Banci 2010, namun kadar itu berbeza di Kelantan (4.9) dan Sabah (4.7) yang mencatatkan kadar yang lebih tinggi manakala kadar rendah dicatatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, sekitar 3.5. 

“Ini kerana umumnya bandar-bandar di Kuala Lumpur kebanyakannya tinggal di pangsapuri dan kalau ada anak 10 orang susahlah, di Kelantan antaranya faktor kemiskinan dan kawasan rumah agak luas sikit, jadi mereka mampu ada anak yang lebih,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah menyiapkan laporan Banci 2020 mengikut kawasan Parlimen untuk diserahkan kepada Ahli Parlimen manakala untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masih dalam proses.

“Ini penting untuk membantu Ahli Parlimen supaya mereka tahu profil kawasan masing-masing dapat berbahas dengan lebih berfakta dalam Parlimen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here