JOHOR BAHRU, 1 Mac — Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan Ikhtiar BN Johor, lima tawaran parti itu kepada rakyat Johor merangkumi kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk orang muda, membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksana reformasi politik.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kelima-lima ikhtiar itu adalah untuk mencapai dan menyokong matlamat utama BN negeri dalam menjadikan Johor sebuah negeri makmur didukung naratif politik baharu yang matang serta stabil.

Inisiatif lain antaranya adalah pinjaman tanpa faedah RM100 juta Bank Rakyat dan pelbagai bantuan kewangan tahunan menerusi Johor Niaga kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah ikhtiar kemajuan ekonomi.

Menurut Hasni, dalam tempoh lima tahun, BN akan mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

“Melalui Johor Berdaya Saing, BN Johor akan melaksanakan sembilan inisiatif yang bakal melonjakkan ekonomi negeri Johor, antaranya dalam bentuk fasilitasi pelaburan dan pembangunan sosioekonomi daerah mengikut kearifan serta potensi tempatan,” katanya pada majlis pelancaran Ikhtiar BN Johor yang dibuat secara maya.

Beliau juga berkata menerusi Johor Berkebajikan di bawah kesejahteraan rakyat, lapan inisiatif akan dilaksanakan termasuk pemberian bantuan kewangan tahunan RM150 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000.

Beliau berkata kos penjagaan anak juga akan dikurangkan dengan perluasan taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dengan menawarkan yuran penjagaan anak berpatutan kepada rakyat Johor.

“BN Johor kekal komited untuk menegakkan syiar Islam dan kemajmukan Johor melalui enam inisiatif antaranya menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) ke status Kolej Universiti dan memperluas  cukai tanah nominal yang kini diberikan kepada masjid dan surau kepada rumah ibadat bukan Islam.

Menurutnya, BN Johor akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa dengan lima inisiatif antaranya memudah cara pembinaan perumahan generasi baharu Felda dan melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Felda.

Menerusi Johor Kerja pula katanya, sebanyak 100,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam pelbagai bidang yang memfokuskan pertanian moden, ekonomi digital dan ekonomi kreatif selain menggalakkan penghijrahan semula golongan profesional dari Singapura ke Johor.

Di bawah ikhtiar orang muda, Hasni berkata BN Johor akan melaksanakan enam inisiatif utama dalam tempoh lima tahun antaranya bantuan kewangan tahunan RM500 kepada semua mahasiswa Johor dari keluarga B40.

Selain itu, ia juga akan mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada mereka yang layak dengan harga sewa amat berpatutan di kawasan-kawasan strategik, katanya.

Dalam usaha membudayakan pentadbiran berintegriti, lima inisiatif utama akan dilaksana BN Johor termasuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diwajibkan mengisytihar harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain bakal mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk ADUN, pegawai utama kerajaan negeri dan ketua kampung, dengan pelaporan secara berkala kepada rakyat dibuat sekerap mungkin.

Sementara itu, peruntukan tahunan sama rata RM200,000 untuk ADUN kerajaan dan pembangkang akan diteruskan menerusi ikhtiar reformasi politik.

Hasni juga berkata sekiranya BN berjaya memperoleh mandat dua pertiga daripada pengundi Johor, persempadanan semula akan dilaksanakan bagi kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi ramai.

“Kita tidak berjanji. Kita berikhtiar dan ikhtiar-ikhtiar kita akan terus dikembang dan diperkasakan semata-mata untuk kemakmuran Johor Darul Ta’zim,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here