LABUAN, 1 Mac — Jabatan Kesihatan Labuan telah menerima sebuah kenderaan bernilai RM237,882 bagi membantu jabatan itu melaksanakan program ‘outreach’ kepada komuniti.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata pembelian trak Hino 300 dengan kapasiti enjin 3908cc itu telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi membolehkan capaian ke komuniti di seluruh pulau ini menerusi pelbagai program penjagaan kesihatan, kami memerlukan sebuah trak serba guna yang dilengkapi peralatan yang diperlukan.

“Kami berterima kasih kepada KKM atas keprihatinannya terhadap objektif kami untuk membolehkan program penjagaan kesihatan sampai kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama hari ini sambil menambah kenderaan itu telah tiba di Labuan minggu lepas.

Dr Ismuni berkata trak tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelbagai program penjagaan kesihatan termasuk bagi kanak-kanak, program peningkatan kemahiran, pameran interaktif serta aktiviti kecergasan.

“Trak berkapasiti besar itu mampu mengangkut bahan-bahan untuk menganjurkan pembentangan multimedia, persembahan pentas, aktiviti permainan berperanan, siaran langsung Facebook di luar dan pengagihan bahan promosi kesedaran kesihatan,” katanya.

Dr Ismuni berkata kenderaan tersebut juga akan membantu hospital sedia ada jika terdapat keperluan khas seperti kempen vaksinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here