KUALA LUMPUR, 2 Mac — Tahun 2022 menjadi tahun bersejarah buat 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 apabila menduduki peperiksaan itu hari ini, berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.

Biarpun di tengah-tengah peningkatan jumlah kes COVID-19, serta bencana banjir di negeri-negeri pantai timur, pelaksanaan peperiksaan SPM dalam norma baharu dilihat teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat dengan seramai 50,514 petugas peperiksaan ditugaskan di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Namun bagi 708 calon di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas yang terjejas akibat banjir di Kelantan, mereka terpaksa bersabar, kerana mereka hanya akan mengambil peperiksaan itu pada sidang kedua April depan, susulan banjir di pusat peperiksaan berkenaan.

Turut dibenarkan menduduki SPM 2021 pada sidang kedua nanti adalah calon-calon yang disahkan positif COVID-19.

Calon SPM hari ini merupakan kumpulan pelajar yang paling terkesan sejak pandemik melanda dan lebih banyak mengikuti sesi pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbanding secara fizikal di sekolah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Bernama di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati seawal 6.30 pagi, kumpulan pertama pelajar yang menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dijadual bermula 8 pagi ini mulai tiba di perkarangan sekolah dengan menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman berkata pelaksanaan SPM kali ini lebih rapi hasil pengalaman menguruskan SPM 2020 tahun lepas dalam norma baharu. 

Beliau ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, di sini, berkata peperiksaan SPM di seluruh Kuala Lumpur kali ini melibatkan 20,311 calon dengan 161 pusat peperiksaan.

Di PUTRAJAYA seramai 1,797 calon merangkumi 1,631 calon sekolah dan 166 calon persendirian menduduki peperiksaan itu di 11 pusat peperiksaan dan tinjauan mendapati pelajar serta guru yang hadir mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya Farizah Ahmad berkata daripada jumlah itu 68 pelajar tidak dibenarkan mengambil peperiksaan hari ini apabila 46 daripadanya disahkan positif COVID-19 manakala 22 lagi merupakan kontak rapat.

Di JOHOR, seramai 50,317 calon menduduki peperiksaan SPM 2021 dan sesi di negeri itu turut ditinjau Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang membuat lawatan mengejut di SMK Kota Masai 2.

Di SELANGOR, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan negeri Nor Faridah A Bakar berkata 73,938 calon termasuk calon persendirian dan berkeperluan khas menduduki peperiksaan di 508 pusat peperiksaan, 219 calon adalah positif COVID-19. 

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Md Fiah Md Jamin berkata 543 pelajar daripada keseluruhan 16,758 calon di negeri itu tidak dapat menduduki peperiksaan kerana dijangkiti COVID-19 manakala di MELAKA ia melibatkan 13,134 calon.

Di PULAU PINANG,  Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata seramai 137 daripada 20,051 calon tidak menduduki SPM kerana terjejas akibat COVID-19.

Di PERAK, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Azmi Dahali selepas mengadakan tinjauan di SMK Tasek Damai berkata dua calon terpaksa menduduki SPM di Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan.

Di PAHANG, Pengarah Pendidikan Pahang Mohammad Rosli Abdul Rahman memaklumkan 20,675 pelajar menduduki SPM di 264 pusat peperiksaan, namun lima calon di negeri itu mendudukinya di hospital akibat kemalangan.

Di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata 319 daripada 18,815 calon SPM di negeri itu yang terjejas banjir akan berada di pusat peperiksaan alternatif sehingga tamat peperiksaan.

Di KELANTAN, seramai 27,372 calon SPM 2021 menduduki peperiksaan di 283 pusat di seluruh negeri.

Pelajar SMK Zainab 1, Nik Arisya Balqis Nik Azman ketika ditemui Bernama berkata beliau mengambil inisiatif melakukan pembelajaran secara berkumpulan bersama rakan-rakannya menggunakan platform Google Meet sebagai persediaan menghadapi SPM.

Di PERLIS, seramai 3,598 calon menduduki peperiksaan itu di 36 pusat peperiksaan manakala di KEDAH, peperiksaan melibatkan 29,769 calon, namun 903 calon tidak dapat mendudukinya kerana menjalani kuarantin. 

Di SARAWAK pula 72 daripada 36,385 calon tidak dapat menduduki peperiksaan itu kerana positif COVID-19 atau menjadi kontak rapat.

Di SABAH, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Mistirine Radin selepas melakukan tinjauan di SMK Tamparuli berkata 39,250 calon SPM 2021 menduduki peperiksaan itu di 315 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here