JOHOR BAHRU, 6 Mac — Mahu memperkasakan keselamatan komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa menjadi antara fokus calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amira Aisya Abd Aziz sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Amira Aisya yang juga Setiausaha Agung MUDA berkata bagi tujuan itu, jawatankuasa komuniti di sesebuah kawasan akan dipertingkatkan memandangkan aspek keselamatan menjadi antara faktor pengukur tahap kesejahteraan hidup penduduk.

“Misalnya di Felda Ulu Tebrau ini hanya ada satu pondok polis, sangat kecil dan saya difahamkan polis di situ kadang-kadang tidak ada kerana ia adalah polis pinjaman, jadi bila ada masalah atau isu keselamatan penduduk tidak tahu hendak ke mana.

“Ada juga penduduk kampung lain yang perlu memandu jauh sekiranya mahu membuat laporan apabila ada masalah keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata usahanya turut tertumpu untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat di bandar dan di desa bagi memastikan tiada pihak yang tercicir dalam arus pembangunan.

“Walaupun Putri Wangsa kawasan urban tetapi masih ramai golongan miskin bandar selain tidak mempunyai akses Internet dan gajet sehingga menyukarkan anak-anak mereka untuk belajar. Jadi saya mahu memperkasakan pusat komuniti Internet kerana ia sangat penting demi generasi masa depan,” katanya.

Amira Aisya, 27, berkata kelangsungan ekonomi di DUN berkenaan juga perlu diambil berat termasuk membabitkan masalah peniaga berdepan dengan karenah birokrasi sehingga melambatkan proses mendapatkan lesen perniagaan sehingga perlu menunggu antara enam bulan hingga setahun.

DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Amira Aisya dan Adzrin Adam (Bebas), Ng Yew Aik (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Pejuang), Loh Kah Yong (PN) dan Steven Choong Shiau Yoon (PBM).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac ini manakala undi awal pada 8 Mac.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here