KUALA LUMPUR, 8 Mac  — Masalah kekurangan tenaga kerja akibat impak pandemik COVID-19 mengakibatkan sektor perladangan kerugian sehingga RM20 bilion tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata antara sektor yang paling terkesan ialah perladangan kelapa sawit yang bergantung kepada tenaga buruh asing.

Justeru katanya, kementerian sedang membuka pendaftaran dan menentukan kuota bagi membawa masuk pekerja asing hujung bulan ini bagi memenuhi keperluan sektor itu.

“(Warga) tempatan tidak tunjuk minat walaupun hampir setahun kita cari dan peluang diberikan, (sehingga kini) masih belum menunjukkan minat dalam sektor ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 Beliau berkata mengambil kira perubahan teknologi yang semakin rancak, kerajaan memberi penekanan kepada aspek latihan dan program pembangunan tenaga kerja.

Beliau berkata ini bagi mewujudkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dan kompeten serta menampung keperluan industri semasa dan keperluan masa hadapan.

“Belanjawan 2022 telah diperuntukkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion,” katanya menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput), hari ini.

Ahli Parlimen itu ingin mengetahui visi dan dasar baharu kerajaan Malaysia berhubung latihan dan pembangunan serta tindakan yang diambil bagi memastikan usaha itu dapat dicapai mengikut kerangka masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here