KUALA LUMPUR, 12 Mac — Sebanyak 99.4 peratus atau 32,617 kes daripada 32,800 kes harian COVID-19 yang dilaporkan semalam adalah kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan kes harian yang dilaporkan semalam  itu, sebanyak 12,726 kes atau 38.80 peratus dalam kategori satu sementara 19,891 kes (60.64 peratus) dalam kategori dua. 

“Sebanyak 70 kes atau 0.21 peratus dalam kategori tiga, 78 kes (0.24 peratus) kategori empat dan 35 kes (0.11 peratus) kategori lima menjadikan peratusan keseluruhan ketiga-tiga kategori ini sebanyak 0.56 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Dr Noor Hisham kadar kebolehjangkitan atau Rt yang dicatatkan di seluruh negara setakat semalam ialah 1.03,  menurun sedikit berbanding 1.04  yang dicatatkan pada Khamis 10 Mac. 

Beliau berkata pada 11 Mac sebanyak 2,135 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital awam dengan 833 kes atau (39 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima sementara 1,302 kes (61 peratus) adalah kategori satu dan dua. 

Dr Noor Hisham berkata individu positif COVID-19 kategori 2B dan ke atas sama ada berisiko tinggi atau tidak atau memiliki gejala yang semakin teruk dikehendaki hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC. 

Kategori 2B COVID-19 adalah pada tahap sederhana dengan gejala demam berpanjangan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sakit dada, tidak boleh makan dan minum, kelesuan bertambah buruk, memerlukan bantuan untuk berjalan, berterusan mengalami batuk dan loya atau muntah dan cirit-birit, status mental pada tahap keliru atau kurang tahap sedar dan kurang pengeluaran air kencing dalam masa 24 jam.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata setakat semalam tujuh negeri merekodkan peratusan pengisian katil COVID-19 kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Kelantan 75 peratus, Johor (68 peratus), Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya (67 peratus), WP Kuala Lumpur (58 peratus), Selangor (57 peratus), Pulau Pinang (51 peratus) dan Melaka (50 peratus).             

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here